PETALING JAYA – Bermula 1 Julai ini, Lembaga Tabung Haji (TH) hanya membenarkan pemindahan wang oleh pendepositnya daripada akaun simpanan TH ke akaun bank sendiri sahaja sebagai langkah proaktif mengekang kes penipuan dalam talian.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab berkata, dalam masa sama, pendeposit juga hanya boleh mengaktifkan kad ATM dengan akaun TH menerusi mesin ATM dan bukan melalui perkhidmatan perbankan dalam talian bank-bank rakan strategik TH.
Katanya, TH sentiasa meneruskan usaha untuk memperkukuhkan keselamatan perkhidmatan digitalnya dengan menambah baik kawalan teknologi demi keselesaan dan keselamatan urusan kewangan pendeposit.
“TH sentiasa cakna dan prihatin akan keselamatan urusan pendeposit. Justeru, TH akan terus berusaha untuk memperkasakan lagi perkhidmatan digital TH demi keselesaan pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah ini adalah salah satu usaha berterusan TH dalam memastikan pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’.
Katanya, TH memandang serius akan penipuan yang berlaku melibatkan pendeposit melalui perbankan internet bank-bank rakan strategik TH.
“Selain itu, TH sering mengingatkan pendeposit untuk sentiasa berhati-hati dengan memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak.
“TH juga sentiasa melakukan kemas kini dan memperketatkan kawalan keselamatan teknologi sedia ada secara berterusan bagi memastikan semua transaksi yang dilakukan oleh pendeposit adalah selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE