fbpx

Pemuda sanggup membujang, mahu jaga kembar OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Demi kasih kepada kembarnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), seorang pemuda sanggup mengorbankan masa mudanya semata-mata untuk memberi perhatian penuh kepada insan tersayang itu.

Shamil Ahmad, 29, dari Taman Permatang Katong dekat sini berkata, dia juga memilih untuk tidak berkahwin kerana enggan berjauhan dengan kembarnya, Shamrin.

“Saya dan Shamrin dilahirkan tidak cukup bulan dan kami terpaksa dirawat di hospital dalam tempoh lama kerana mengalami pelbagai komplikasi penyakit.

“Bagaimanapun sepanjang proses tumbesaran, saya di­sahkan sihat, manakala Shamrin dikesan menghidap sawan tarik selain mengalami pendarahan otak dan masalah penglihatan,” katanya ketika ditemui di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda dekat sini semalam.

Menurutnya, akibat masalah itu, Shamrin mengalami kecacatan kekal dengan badannya kejang serta hanya terlantar di atas katil sehingga memerlukan penjagaan rapi.

Kata Shamil, dia juga terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga kembarnya itu selepas ibu bapa, Ahmad Omar, 69, dan Che Rohyaha Manap, 68, kurang bertenaga atas faktor usia.

“Lima abang, dua kakak dan seorang adik perempuan juga banyak membantu sebelum ini, namun kini mereka sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri.

“Rutin saya selepas habis be­kerja sebagai buruh adalah memandikan Shamrin, memberi makan dan membawanya ke hospital jika diserang sawan,” katanya.

Ujarnya, keadaan kesihatan Shamrin semakin merosot apabila pernafasannya kerap tersekat kerana masalah kahak.

“Kami disarankan untuk membeli mesin khas untuk menyedut keluar kahak tetapi tidak berkemampuan.

“Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan di bawah kategori OKU terlantar sekadar cukup untuk membeli lampin pakai buang, susu khas dan makanan bijirin Shamrin,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0212429828238025 atas nama ibunya, Che Rohyaha Manap atau hubungi 019-484 3359.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI