KUANTAN – Pemandu lori tangki yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut mengorbankan dua beradik di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang Felda Lepar Hilir 1 pada 14 Jun lalu dihadapkan ke Mahkamah Trafik Kuantan di sini hari ini.
Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman,31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Jun lalu kira-kira pukul 11 malam di Jalan Kuantan-Segamat dekat persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Kuantan.
Tertuduh didakwa memandu lori treler tanpa ‘kecermatan’ sehingga mengakibatkan kemalangan maut mengorbankan dua beradik iaitu Siti Nur Alia Saffiyah, 18, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87-Pindaan 1999) yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Tertuduh juga boleh dikenakan tindakan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.
Dalam prosiding, Fadhlin Hani memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 beserta seorang penjamin bercagar.
Tertuduh bagaimanapun memohon agar ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh yang berpendapatan bulanan RM3,000 perlu menyara isteri, tiga anak dan ibu yang sudah tua.
Majistret kemudiannya membenarkan jumlah ikat jamin dikurangkan keada RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan menggantung lesen tertuduh sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE