SEGAMAT- Wanita yang maut dihempap bumbung sekolah sewaktu ribut di sini malam semalam menjadi seorang yang peramah sejak kebelakangan ini menjadi petanda pemergiannya.
Menurut abang ipar mangsa, Tamil Selvam Periyasamy Bala, 55, adik iparnya, P. Mahadevi tinggal di rumah tersebut bersama suami, P. Saravanan, 57, dan seorang adiknya, V. Bala, 51, ketika kejadian.
“Saya juga dimaklumkan mendiang menjerit meminta tolong sebanyak tiga kali selepas dihempap bumbung sekolah di bahagian dapur rumah tersebut.
“Kami sekeluarga masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa adik ipar dan masih trauma. Mereka sekeluarga kini tinggal di rumah saudara berdekatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tahang Rimau, di sini.
Tambahnya, adik iparnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian tetapi dia agak banyak bercakap menjadi petanda kepada pemergian adik iparnya itu.
Sementara itu, Arif Budiman, 37, jiran kepada mangsa berkata, dia berlari sekuat hati ke rumah jirannya itu dan mendapati mangsa telah dihempap bumbung sekolah.
“Sebelum kejadian pada kira-kira pukul 7 petang, keadaan hujan lebat disertai petir. Sebaik mendengar jeritan meminta tolong, saya bergegas berlari dan mendapati bahagian dapur rumah jiran saya dihempap bumbung sekolah. Saya terus bantu tarik mangsa dari bawah bumbung. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tertiarap dan tersepit di bahagian pinggang.
“Keadaan hujan lebat membuatkan keadaan sangat mencabar. Jiran-jiran turut datang membantu dan kami berjaya menarik keluar mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE