PYONGYANG – Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un dan barisan pegawai tertingginya berikrar untuk meningkatkan penghasilan lebih banyak senjata nuklear bagi menentang kemaraan pengaruh Amerika Syarikat (AS) dalam isu keselamatan serantau, lapor laman berita NK News semalam.
Perkara itu didedahkan selepas sesi mesyuarat Parti Buruh selama tiga hari yang berakhir kelmarin, lapor media tempatan sambil menambah, Pyongyang turut bersetuju meningkatkan pembangunan angkasa lepasnya bagi melancarkan lebih banyak satelit.
Dalam laporan yang dibentangkan, politburo Parti Buruh menggesa agar keupayaan pertahanan Korea Utara dipertingkatkan dengan menggunakan senjata-senjata baharu bagi mengatasi AS dan musuh-musuh lain di tengah-tengah perubahan persekitaran keselamatan, lapor akhbar Rodong Sinmun.
Bagi mencapai matlamat itu, Pyongyang juga akan mengukuhkan hubungannya dengan negara-negara lain terutamanya sekutu lamanya seperti China dan Russia bagi menentang strategi AS dalam ‘mendominasi dunia’.
Dengan menyalahkan ‘provokasi perang secara melulu’ oleh Washington dan sekutu-sekutunya sehingga menimbulkan ketegangan di Semenanjung Korea, laporan berkenaan turut mengetengahkan kemajuan dalam pembangunan senjata nuklear sebagai ‘langkah hebat’ bagi mengukuhkan keupayaan pencegahan nuklear Pyongyang.
“Biro Politik menyeru sektor pertahanan negara agar secara konsisten mematuhi orientasi pembangunan senjata nuklear dan memperkukuh kuasa nuklear dengan meningkatkan pengeluaran senjata yang berkuasa,” lapor agensi berita KCNA.
Ketegangan di Semenanjung Korea kian meningkat ketika AS mengukuhkan kehadiran ketenteraanya di rantau berkenaan dengan sokongan sekutunya, Korea Selatan dan Jepun.
Minggu lalu, sebuah kapal selam berkuasa nuklear milik AS tiba di Busan, Korea Selatan, sekali gus memberi isyarat amaran kepada Pyongyang yang sering melancarkan ujian peluru berpandunya di rantau tersebut.
Kapal selam USS Michigan itu tiba sejajar dengan deklarasi yang dimeterai antara Washington dan Seoul pada April lalu untuk melanjutkan pertahanan Korea Selatan, yang disokong oleh keupayaan penuh AS termasuk nuklear.
Kapal selam seberat 18,000 tan itu memiliki panjang kira-kira 170 meter serta dilengkapi dengan 150 peluru berpandu Tomahawk yang boleh mencapai jarak 2,500 kilometer. – Agensi