fbpx

Kim Pan-gon akan terus bereksperimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON menegaskan sasaran Harimau Malaya tetap sama iaitu mendominasi permainan dengan corak lebih agresif ketika menentang Papua New Guinea malam ini. – PUQTRA HAIRRY

KESEBELASAN skuad Harimau Malaya bakal dirombak sekali lagi pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, eksperimen ke atas barisan kesebelasan utama skuad kebangsaan dite­ruskan untuk mengekalkan persaingan sihat dalam pasukan.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menegaskan, semua pemain yang berada di dalam kem kebangsaan diberi peluang untuk membuktikan kemampuan ­masing-masing.

“Setiap pemain tidak boleh menganggap sudah adanya ke­sebelasan utama, maka mereka tidak melakukan apa-apa, sebaliknya saya membuka peluang sama rata kepada semua untuk merebut tempat.

“Berdasarkan apa ditunjukkan, saya gembira dengan ­prestasi pemain yang sentiasa mahu membuktikan mereka ­layak untuk menyarung jersi negara dan sentiasa berada dalam senarai pemain utama,” kata Pan-gon.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pra-perlawanan antara Malaysia dan Papua New Guinea di Kuala Nerus semalam.

Pan-gon berkata, beliau tidak mahu setiap pemain berada dalam zon selesa dalam usaha­nya membentuk sebuah pasukan yang benar-benar kompetitif.

Begitupun, beliau menegaskan, perubahan dalam kesebelasan utama tidak mengubah misi Harimau Malaya iaitu menampilkan aksi terbaik bagi memenangi perlawanan tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Pan-gon mengakui Papua New Guinea pada tahap lebih baik ­berbanding telahannya, sekali gus dijangka menjanjikan tentangan sengit buat Harimau Malaya.

“Kemampuan mengikat Singapura 2-2 pada minggu lalu menunjukkan kualiti dimiliki Papua New Guinea menjelang pertemuan pertama dengan ­Malaysia sejak tahun 2016.

“Apa pun, sasaran Harimau Malaya tetap sama iaitu mendominasi permainan dengan corak lebih agresif serta perbaiki kelemahan perlawanan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, bek kiri Malaysia, Corbin Ong turut berharap dapat mengekalkan rentak kemenangan yang diraih sewaktu mengalahkan Kepulauan Solomon pada minggu lalu.

Jelasnya, setiap pemain harus mengikuti arahan Pan-gon dengan penuh disiplin selain memperkemaskan rentak permainan di semua posisi bagi mengulangi kemenangan 4-1.

“Moral dalam skuad kebangsaan semakin baik dan kami ada masa lebih untuk mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan kedua ini. Jadi saya harap kemenangan menjadi milik kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI