GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Simpor dan Pos Gob di sini berpeluang mendaftar sijil kelahiran anak-anak dan MyKad menerusi Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat.
Program yang berlangsung selama tiga hari anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut mendapat kerjasama daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Penduduk Orang Asli Pos Simpor, Amat Angah, 52, berkata, program itu sangat dinantikan oleh penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.
Katanya, dia sangat berterima kasih kepada pihak JPN yang sudi datang ke kampung mereka yang terletak lebih 100 kilometer di Pos Simpor bagi membantu membuat pendaftaran kelahiran dan MyKad.
“Program seperti ini dinantikan oleh penduduk Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman untuk ke kawasan bandar.
“Saya sendiri mendaftarkan sijil kelahiran seorang cucu yang berusia dua tahun kerana anak saya bersalin di rumah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, program itu memberi manfaat kepada penduduk suku kaum Temiar di Pos Simpor dan Pos Gob.
Katanya, program tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk bertemu mata dengan agensi dan mendapat khidmat nasihat atau perkhidmatan secara terus. – KOSMO! ONLINE