AMPANG JAYA – Kertas siasatan membabitkan penunggang motosikal Ducati Panigale maut selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan dilengkapkan bagi tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selangor dalam tempoh terdekat setelah siasatan dilengkapkan.
Katanya, sambungan rakaman percakapan saksi membabitkan pengendali televisyen litar tertutup (CCTV) SUKE dan Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE) telah diambil.
“Suspek yang juga lelaki tempatan berusia 41 tahun yang sudah dikenal pasti telah merakamkan percakap dan keadaan suspek masih lagi cedera tetapi stabil.
“kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dihantar untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataam hari ini.
Rabu minggu lalu, Kosmo! melaporkan , seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 Meter.
Sementara itu, motosikal yang ditunggang mangsa telah terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.
Dalam perkembangan sama, siasatan mendapati, suspek penunggang motosikal menunggang lawan arus kerana tersesat lalu mengambil keputusan menaiki jejambat lebuh raya SUKE untuk ke rumahnya di Kajang.
Suspek yang tampil membuat laporan polis di Balai Trafik Kajang, memaklumkan dirinya turut parah akibat pergeseran dengan motosikal mangsa lalu terjatuh dari motosikalnya.
Selain itu, suspek mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, jari kelingking dan luka di bahu kiri serta kaki kanan hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial. -KOSMO! ONLINE.