BAGHDAD – Iraq mendedahkan sebuah batu berusia 2,800 tahun yang dipulangkan semula oleh kerajaan Itali ketika ia berusaha mendapatkan semula pelbagai artifak yang dirompak dari wilayahnya.
Batu yang tertera teks dalam abjad Babylonia digelar kuneiform (tulisan pepaku) itu mempunyai lambang seorang raja Assyria, Shalmaneser III yang memerintah wilayah Nimrod (kini utara Iraq), dari tahun 858 hingga 823 Sebelum Masihi (SM).
Butiran tentang bagaimana batu itu berada di Itali masih tidak jelas, namun pihak berkuasa Rom telah menyerahkannya kepada Presiden Iraq, Abdul Latif Rashid semasa lawatannya ke bandar Bologna minggu lalu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai Itali atas usaha dan kerjasama mereka dalam membawa pulang artifak ini,” kata Abdul Latif dalam sebuah majlis penyerahan artifak itu kepada muzium negara di kediaman presiden di Baghdad.
Pengarah Majlis Barang Antik dan Warisan Baghdad, Laith Majid Hussein berkata, batu itu berada di Itali pada 1980-an di mana ia dirampas oleh polis.
“Mungkin (ia ditemui) semasa penggalian arkeologi atau semasa kerja pembinaan empangan Mosul yang terbesar di Iraq pada 1980-an,” katanya.
Menteri Kebudayaan Iraq, Ahmed Fakak al-Badrani pula menjelaskan, artifak tersebut amat penting kerana mempunyai ‘teks kuneiform lengkap’.
Wilayah Iraq moden adalah lokasi kelahiran tamadun Sumeria, Akkadia, Babylonia dan Assyria di mana manusia menghasilkan karya penulisan dan membina bandar terawal. – AFP