fbpx

Intern jangan terlalu mendesak, perlu jadi pelajar matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POLEMIK ‘intern bukan buruh percuma’ kini menjadi antara isu paling hangat dibincangkan.

Ada yang setuju memandangkan kehidupan zaman sekarang yang memerlukan lebih wang untuk hidup. Namun, ada yang menempelak kononnya generasi ‘Z’ zaman ini terlalu lemah.

Persoalan juga timbul sama ada suara-suara yang sering dilontarkan generasi Z ini satu kemanjaan ataupun sebaliknya.

Hakikatnya, niat individu yang tular memegang plakad itu ada bagusnya kerana anak muda perlu dipermudahkan jalan dalam dunia serba mencabar ini.

Namun, bagi orang lama, mereka juga mempunyai pandangan sendiri yang mana gene­rasi muda perlu ‘beli joran’ sendiri kalau ingin dapatkan ikan.

Isunya, jika elaun diwajibkan, adakah ‘budak intern’ bersedia untuk diuji sekerasnya termasuk bersedia untuk diarah, membuat kerja di luar bidang ataupun kerja lebih masa.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, ge­nerasi sekarang dikatakan lebih mahukan sesuatu yang mudah dan segera memandangkan semuanya ada di hujung jari.

Ini termasuklah sama ada ingin membuat rungutan atau ­aduan mengenai hak mereka.

Katanya, apa yang menjadikan kerisauan adalah wujud kelompok atau kumpulan yang suka mengambil kesempatan di sebalik isu berkenaan.

“Sekarang ini semua mahu segera. Budaya ini dilihat sangat menyusahkan apabila generasi Z akan lebih pandai mendesak berbanding memahami keadaan persekitaran. Ia lebih berpaksikan desakan kerana mereka sedar rungutan itu akan diberikan perhatian.

“Mungkin salah kita juga ke­rana terlalu bergantung kepada kecanggihan sehingga budaya mendesak dan mengkritik ini semakin mudah dilakukan,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui impak positif tetap ada bergantung bagaimana permintaan itu diusulkan tanpa desakan bagi memastikan kebajikan pelajar praktikal ini tidak diabaikan begitu sahaja.

“Unsur-unsur keprihatinan itu semakin tinggi dalam kalangan pihak berwajib dan mereka tidak lepas tangan terhadap sesuatu isu termasuk elaun pelajar praktikal.

“Cuma bila dunia semakin mudah, anak-anak muda ini tidak boleh mengambil kesempatan daripada isu berkenaan. Perlu seimbangkan realiti dan apa yang dihajati. Permohonan elaun itu perlu kena pada tempatnya tanpa mendesak,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara paling penting adalah situasi menang-menang dengan memerlukan pertimbangan akal, emosi dan tingkah laku selaras dengan sumbangan yang diberikan khusus­nya kepada pelajar praktikal yang bakal menerima elaun tersebut.

Tambahnya, ini bagi membudayakan persekitaran kerja atau sosial yang positif seterusnya menjadikan tempat latihan praktikal sebagai lokaliti yang menarik dan seronok.

“Bila permintaan diterima, adalah adat untuk mereka menerima dan menyahut dengan tingkah laku positif dan rasional. Apa sahaja aduan perlu dilakukan dalam bentuk dokumentasi dan bukan lisan semata-mata.

“Ini bagi membolehkan siasatan atau pembuktian dapat dijalankan sekiranya berlaku masalah atau gangguan semasa menjalani latihan praktikal.

“Namun, yang penting adalah kematangan fikiran dan emosi serta kesediaan memasuki alam pekerjaan. Sekiranya semua itu ada, ia tidak akan memberi masalah kepada mana-mana pelajar praktikal yang bakal bergelar graduan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI