IMPIAN Muhammad Fadhil Mohd. Zonis menamatkan penantian sedekad negara menjelmakan pingat emas acara satu kilometer (km) ujian masa individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 tercapai selepas muncul juara di Velodrom Nasional, Nilai semalam.
Fadhil mengakui gembira meraih pingat emas kerana segala usahanya selama ini berbayar sejurus berjaya menoktahkan kemenangannya dengan catatan masa 1 minit 00.559 saat (s).
Catatan itu sudah cukup buat Fadhil mengetepikan dua pencabar terdekatnya iaitu Laitonjam Ronaldo dari India (1:00.863s) dan pelumba Korea Selatan, Woorim Choi (1:01.541s).
“Kejayaan ini ada makna yang istimewa, saya dapat bawa pulang pingat emas ke Malaysia, saya sudah pun mencuba banyak kali sebelum ini, namun tidak berjaya.
“Semalam pula hari bapa, dan bapa saya dah meninggal dunia sejak empat tahun yang lalu, memang niat saya mahu mendapatkan jersi ini untuk segala pengorbanan yang arwah ayah saya dah lakukan selama ini.
“Sebelum ini, arwah ayah saya merupakan tunjang kepada keluarga. Walaupun ketika dia sakit, ketika hari hari terakhir dia nazak, dia masih tahu saya akan pergi ke Jerman untuk latihan pusat.
“Bila saya menang tadi, saya agak emosi sehingga mengalirkan air mata, bila difikirkan kembali, ibu saya berada di rumah, adik saya pula kemalangan dan kini berada dalam keadaan 50-50 selepas pembedahan, jadi ini adalah pengorbanan untuk keluarga saya,” kataya sejurus tamat perlumbaan.
Untuk rekod, pelumba kelahiran Selangor berusia 25 tahun itu sebelum ini memenangi pingat perak dalam acara 1km ITT elit di pentas ACC pada edisi 2020 dan 2022.
Pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Fadhil tewas kepada Andrey Chugay dari Kazakhstan sebelum dia sekali lagi meraih perak apabila tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Obara di New Delhi, India tahun lalu.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang terlepas peluang mempertahankan emas acara 500m ujian masa individu yang dimenanginya pada ACC 2022 apabila terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak.
Meskipun gagal meraih emas, namun atlet berusia 20 tahun tersebut berbangga apabila berjaya memecahkan rekod bekas ratu berbasikal trek, Fatehah Mustapa (34.542s) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan memperbaharui catatan baharu 34.426s.