KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengekalkan kuota pengambilan pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kuota pelajar perubatan yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) adalah seramai 4820.
Bagaimanapun katanya, namun jumlah siswazah sebenar adalah lebih rendah iaitu kira-kira 4,000 orang setahun.
“Kementerian akan terus kekalkan jumlah yang ditetapkan kerana antaranya permohonan ramai untuk mengambil jurusan perubatan dan kadar (yuran) yang ditetapkan untuk universiti tempatan adalah murah, maka demikian kita sebenarnya melakukan pendemokrasian pendidikan.
“Kita membenarkan ramai memohon untuk ambil jurusan perubatan, kalau kita kurangkan (pengambilan) dalam negara maka sudah tentu ada yang terpaksa ke luar negara dan kosnya sangat tinggi,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang bertanya mengenai penambahan kuota pelajar perubatan IPT tempatan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, berdasarkan statistik pengambilan pelajar perubatan pada tahun 2020 adalah seramai 3853, tahun 2021 (4202 orang) dan tahun 2022 (4671 orang).
“Jika dihujahkan sama ada jumlah ini melebihi sasaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melahirkan hanya 4,000 doktor setahun, pengeluaran graduan yang sebenar daripada universiti tempatan adalah lebih rendah.-KOSMO! ONLINE