fbpx

Bot nelayan Thailand ceroboh perairan Langkawi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan Thailand yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di Langkawi pada semalam.

LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan dari Thailand kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika barat laut Pulau Jemurok, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot tersebut ditahan bot APMM yang sedang menjalankan rondaan rutin di perairan ini kira-kira pukul 12 tengah hari

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot nelayan itu dikendalikan dua kru termasuk tekong masing-masing berusia 37 dan 44 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui dokumen pengenalan diri mereka yang didapati meragukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bot nelayan asing berkenaan turut didapati tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Perikanan.

“Kedua-dua suspek serta bot nelayan ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 16 (3) akta sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,” ujarnya.

Katanya, sabitan atas kedua-dua kesalahan itu boleh didenda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Tambahnya, dua kru terbabit juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI