APABILA bercakap tentang gaya selebriti di karpet merah, golongan tersebut sememangnya cukup bijak mencuri tumpuan dengan gaya memukau dan seiring dengan trend semasa.
Antara gaya karpet merah yang paling mencuri tumpuan sejak kebelakangan ini adalah gaya selebriti wanita yang tampil anggun dalam busana dres berkerudung atau hooded dress.
Trend hooded dress adalah gabungan daripada kerudung atau penutup kepala yang lazim dilihat pada pakaian seperti baju sejuk, bersama gaun malam penuh elegan.
Gaya dres berkerudung cukup sinonim dengan tahun 1990-an memandangkan fesyen tersebut mengambil inspirasi daripada gaya jalanan yang cukup popular pada era itu.
Tarikan gaya tersebut terletak pada terjemahannya yang elegan dengan sentuhan vintaj, namun pada masa sama menjadikan pemakainya tampil sopan.
Gaya tersebut mulai dilihat mewarnai karpet-karpet merah termasuk acara berprestij, Met Gala 2023 baru-baru ini.
Rihanna merupakan salah seorang selebriti yang tampil memukau dengan dres berkerudung pada acara Met Gala 2023 apabila menggayakan hooded dress putih yang dihasilkan membentuk kuntuman bunga kamelia.
Selain Rihanna, selebriti lain yang turut menggayakan dres sedemikian termasuklah pelakon popular, Anne Hathaway; model antarabangsa, Bella Hadid dan juga pelakon jelita Bollywood iaitu Aishwarya Rai.
Memetik laporan majalah India, Masala!, dres berkerudung merupakan satu trend menarik memandangkan ia merupakan gabungan antara fesyen dan juga fungsi.
“Tambahan kerudung sama ada daripada jenis renda atau kain sutera polos, memberikan sentuhan gaya yang berbeza.
“Biarpun ringkas, namun ia boleh mencerminkan gaya peribadi seseorang selebriti itu,” demikian tulisan artikel tersebut.
Satu lagi aspek paling menarik dalam penggayaan kerudung adalah sifatnya yang boleh diubah mengikut kesesuaian gaya.
“Apabila diletakkan di atas kepala, kerudung itu akan memberikan pemakai gaya misteri, namun apabila diturunkan ke bawah, ia nampak lebih santai,” tambah kenyataan itu lagi.
Malah, pereka fesyen juga turut bereksperimen dengan dres berkerudung dalam menghasilkan rekaan mereka.
Daripada jenama fesyen ternama seperti Max Mara dan Saint Laurent kepada pereka fesyen baharu, dres tersebut menjadi kanvas ekspresi seni golongan pereka fesyen ini.
Elemen dramatik, sulaman, fabrik unik dan rona-rona berani merupakan antara terjemahan pereka yang memberikan lebih karakter kepada busana ini.
Trend selebriti wanita tampil memakai dres berkerudung telah memberikan impak yang nyata kepada dunia fesyen.
Gabungan elegan, praktikaliti, versatiliti dan peluang menterjemah gaya peribadi menjadikan dres itu antara gaya pilihan selebriti.