GEORGE TOWN – Seramai 2,800 golongan B40 di negeri ini dijangka menerima manfaat menerusi Program Korban Perdana 2023 anjuran Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, sebanyak 100 ekor lembu akan dijadikan korban dan 92 buah masjid serta lima buah surau terpilih untuk mendapat paling kurang seekor lembu korban.
Katanya, Program Korban Perdana 2023 adalah yang pertama dianjurkan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).
“Idea untuk mengadakan Program Korban Perdana 2023 adalah hasil ilham murni daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
“Objektif utama Program Korban Perdana 2023 adalah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim di antara Ulil Amri iaitu Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, pihak yang berkorban dan penerima golongan B40,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan lembu korban perdana di Masjid Negeri, di sini hari ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. – KOSMO! ONLINE