MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sedang menyiapkan dana sebanyak £45 juta (RM266.29 juta) untuk memujuk Everton melepaskan khidmat penjaga gol mereka, Jordan Pickford ke Old Trafford.
Penjaga gol antarabangsa England itu turut berada dalam senarai pemain buruan oleh pengurus pasukan, Erik Ten Hag yang berpotensi menjadi pengganti David De Gea ketika urusan rundingan kontrak pemain berkenaan belum menemui kata putus.
De Gea ketika ini hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi kontraknya bersama United yang berakhir hujung Jun ini dan telah menolak tawaran lanjutan kontrak dua tahun berserta pemotongan gaji untuk kekal di Old Trafford.
United dikatakan mengemukakan tawaran gaji mingguan baharu sebanyak £200,000 (RM1.18 juta) berbanding gaji asal pemain berkenaan dengan kontrak sebelum ini bernilai £375,000 (RM2.21 juta).
Perkembangan itu menyebabkan Ten Hag berpendapat bahawa Pickford adalah pilihan terbaik berdasarkan persembahannya biarpun Everton bergelut sepanjang musim lalu untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kemampuan Pickford untuk memulakan gerakan dari bahagian bawah serta kebolehan mengawal bola menggunakan kakinya dilihat sebagai kelebihan yang tidak dimiliki oleh De Gea yang menjadi masalah buatnya untuk mengadaptasi falsafah bola sepak Ten Hag ketika ini.
Everton pula ketika ini berdepan isu kewangan biarpun berjaya mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan menyebabkan penjualan pemain tidak dapat dielakkan untuk menguatkan struktur aliran tunai kelab. – AGENSI