fbpx

‘Syurga’ depan mata, bertemu ibu kandung lepas 48 tahun terpisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SOPIAN dan isteri, Nor Faridah membuat panggilan video bersama ibunya, Fatimah Kuny Alive di Seri Kembangan semalam.

SERI KEMBANGAN – Siapa sangka, kali pertama menjejakkan kaki semula ke Johor selepas 48 tahun meninggalkan negeri itu, Mohd. Sopian Mohamed Sapihi, 48, akhirnya bertemu kembali dengan ‘syurganya’ yang terpisah sejak sekian lama.

Mohd. Sopian ketika ditemui Kosmo! di premis perniagaan miliknya dan isteri di Persiaran Lestari Perdana, di sini semalam, meluahkan rasa syukur apabila masih berpeluang memeluk serta mencium tangan ibu kan­dungnya, Fatimah Kuny Alive, 72.

Menurut Mohd. Sopian yang bekerja sebagai jurulatih bola sepak, pada awalnya, dia dan isteri, Nor Faridah Badri, 46, ke Johor pada 22 Mei lalu dengan niat untuk mengumpul petunjuk tentang keberadaan ibunya itu, namun tidak sangka ia menjadi satu pertemuan yang dinantikan sekian lama.

“Saya dan isteri bertolak ke Simpang Renggam pukul 7.30 pagi berpandukan maklumat diperoleh daripada kenalan.

“Kami tak ada rancang apa pun kerana mulanya sekadar nak cuba cari, kumpul lebih banyak petunjuk, namun ditakdirkan, saya terus dapat bertentang mata mak (Fatimah),” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd. Sopian memaklumkan, sewaktu berusia lapan bulan, dia dibawa arwah bapanya, Mohamed Sapihi Haron, ke Perak dan dibesarkan arwah neneknya, Mutuyah.

“Sejak kecil saya diberi kasih sayang oleh nenek yang juga saya panggil mak. Ibu saudara saya juga anggap saya macam anak mereka sendiri, langsung tidak pernah kurang kasih sayang yang diberi, sehingga saya tidak pernah rasa rindu untuk kenal ibu kandung, sebab apa yang saya tahu, nenek adalah mak saya.

“Tetapi, sejak 2013, hati saya seperti ingin tahu siapa ibu kan­dung saya, mahu lihat muka dia depan mata. Sewaktu Aidilfitri lalu, perasaan untuk berjumpa dengan ibu sangat kuat, sehingga saya tekad ke Johor untuk mencarinya,” ujarnya.

Katanya, perasaan rindu ter­hadap ibunya itu timbul setiap kali dia mendirikan solat subuh dan tanpa sedar air matanya mengalir membasahi pipi.

MOHD. SOPIAN (kiri) bergambar bersama salah seorang adiknya ketika pertemuan mereka di Simpang Renggam baru-baru ini.

“Selepas pemergian arwah ayah 16 tahun lepas, empat tahun kemudian saya mula memikirkan mak, setiap kali solat subuh, pasti jatuh air mata saya.

“Jadi, itu yang menjadi titik permulaannya dan sebenarnya, arwah mak ngah (ibu saudara) yang tawarkan diri bantu dan beri petunjuk, namun usaha mencari sebelum ini tertangguh disebabkan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kini, peraturan Allah itu sa­ngat cantik, tanpa rancang, Allah mudahkan urusan saya bertemu ibu dalam masa sehari (25 Mei),” katanya.

Tambahnya, kini ibunya tinggal bersama adiknya di Johor dan wanita itu berada dalam keadaan sihat.
Lebih mengejutkan Mohd. Sopian, dia tidak menyangka kehadirannya disambut baik oleh adik-beradik yang lain, malah mereka telah lama mencuba menjejaki keberadaannya.

“Alhamdulillah, ibu sihat dan adik-beradik lain pun terima saya dengan baik, malah daripada dahulu lagi, ibu ada ceritakan perihal saya kepada mereka.

“Mereka juga sentiasa cuba cari saya dari dahulu sehingga sanggup ke Singapura sebab petunjuk terakhir mereka, arwah ayah berada di sana.

“Menurut cerita ibu, dia hanya mengingati saya sekadar nama Sopian dan mempunyai tahi lalat di muka,” kongsinya.

Katanya lagi, kini dia dalam proses mencipta keserasian de­ngan ibu kandungnya itu.

Dalam sesi akhir pertemuan Kosmo! bersama Mohd. Sopian, penulis sempat melihat kemesraan dua beranak itu menerusi panggilan video di aplikasi ­WhatsApp.

Ibunya juga sempat mengucapkan selamat Hari Bapa buatnya sebagai tanda ingatan terhadap anak sulungnya yang sudah menjadi seorang bapa kepada dua orang cahaya mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI