CAPE CANAVERAL, FLORIDA – Syarikat aeroangkasa, SpaceX melancarkan sebuah roket Falcon 9 dengan membawa satelit komunikasi yang akan menyediakan perkhidmatan internet di Indonesia, lapor agensi berita United Press International (UPI).
Roket itu dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 40 (SLC 40) di Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral, Florida, kelmarin.
Ia berlepas pada pukul 6.21 petang (waktu tempatan), meluncur laju ke langit yang sedikit berawan.
Pelancaran itu menandakan permulaan misi SpaceX ke-240 dan pelancaran ke-148 dari pad pelancaran di SLC 40. Syarikat itu telah melancarkan 40 misi pada 2023 setakat ini.
Misi dipanggil PSN SATRIA itu akan meletakkan satelit SATRIA-1 dalam orbit geosynchronous. Ini bermakna ia akan kekal dalam kedudukan membujur yang sama semasa Bumi berputar.
Satelit itu adalah sebahagian daripada projek bernilai AS$550 juta (RM2.5 bilion) yang akan menyediakan internet berkelajuan sehingga 150 gigabit sesaat ke bahagian di Indonesia yang tidak mempunyai liputan internet sebelum ini, lapor laman SpaceFlightNow.
Perkhidmatan itu dikhaskan untuk pusat kesihatan dan pendidikan serta pusat akses WiFi awam. – Agensi