KANGAR – Kerajaan negeri bersedia untuk bertemu wakil syarikat judi susulan tiada lagi pembaharuan lesen premis perjudian di Perlis dan yakin rakyat menyokong keputusan yang dibuat itu.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bertemu mana-mana pemegang lesen premis judi di Perlis bagi menjelaskan keputusan muktamad kerajaan negeri.
“Saya yakin rakyat negeri ini akan bersama saya membanteras penyakit ketagihan judi dan menyokong usaha kerajaan negeri menghentikan operasi premis judi di sekitar Perlis.
“Fasa seterusnya selepas pelaksanaan ini adalah kita juga akan mengesan aktiviti-aktiviti judi haram (tidak berlesen) yang beroperasi dalam usaha menghapuskan sepenuhnya kegiatan itu di negeri ini,” katanya ketika ditemui di fasiliti Perlis Maritime Engineering di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita tentang amaran sebuah syarikat judi mengenai risiko ketagihan judi semakin parah dan pertambahan lebih banyak isu sosial jika premis mereka ditutup. – KOSMO! ONLINE