BACHOK – Pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang memperoleh keputusan
11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meskipun menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit bersyukur apabila terpilih untuk menerima tajaan membuat lesen memandu.
Menurutnya, dia sebelum ini sudah mendaftar dengan Akademi Memandu Amkist (Amkist) di Kampung Kandis di sini untuk membuat lesen memandu kelas D dan B2 selepas menduduki SPM baru-baru ini.
Katanya, bayaran sebanyak RM1,410 hasil sumbangan adik-beradiknya sudah dibayar kepada Amkist dan wang tersebut sudah dikembalikan oleh pihak akademi tersebut hari ini.
“Saya sepatutnya menduduki ujian pemanduan motosikal pada 11 Jun lalu, namun terpaksa prosedur itu terpaksa ditangguhkan kerana ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia sehari sebelum tarikh tersebut selepas sakit sejak empat tahun lalu.
“Jadual belajar memandu sebelum ini juga sering tertunda kerana saya lebih fokus untuk menjaga arwah ibu yang menghidap sakit saraf dan angin ahmar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ziarah Kasih Amkist di rumahnya di Kampung Kandis di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan AmKist, Noor Haslina Abdullah berkata, selain tajaan lesen memandu, pihaknya turut menyumbangkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada Muhammad Syahril.
Menurutnya, Muhammad Syahril akan menduduki ujian pemanduan motosikal pada 21 Jun ini selain akan menghabiskan tempoh belajar memandu kereta selama 14 jam.- KOSMO! ONLINE