SEGAMAT – Seorang pemuda mengambil keputusan untuk tidur di kebun durian dan dalam kenderaan bagi mengelak raja buah itu dicuri ketika kemuncak musim buah itu.
Kata Azrul Haikal Samsari, 23, dia mengambil inisiatif tidur di dalam kereta di kebun milik bapanya sejak tiga minggu lalu bagi mengelak durian yang gugur dicuri terutama sekali pada waktu malam.
“Ada pekebun berhampiran memberitahu mengenai kegiatan curi durian di kebun ayah saya pada waktu malam. Jadi, saya mengambil keputusan drastik untuk tidur dalam kereta buat sementara ini.
“Saya bergilir-gilir dengan ayah saya tidur dalam kereta untuk menjaga kebun dan kutip buah yang gugur.
“Ada juga sekali-sekala pemilik kebun buah durian lain turut sanggup bermalam dalam kenderaan bagi mengawasi hasil durian daripada dicuri,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Jakas, di sini.
Tambah Azrul, dia tidak kisah dengan sebarang tohmahan orang kerana kecewa apabila ada pihak sanggup mencuri durian di dusun dan menjualnya untuk mendapatkan keuntungan atas angin.
Kebun durian milik keluarganya itu adalah seluas 1.5 hektar dan mempunyai 30 pokok durian hanya terletak dua kilometer dari rumahnya.
Katanya, sejak seminggu lalu memang ada penceroboh yang menyelinap masuk ke kebun bapanya pada waktu malam untuk mencuri durian kerana setiap kali dia ke kebun pada waktu pagi untuk mengutip durian, buah gugur akan ‘ghabib’.
“Setiap hari selepas solat isyak, saya yang ditemani rakan sekampung datang ke kebun untuk menjaga dan mengutip durian sehingga subuh.
“Bila dengar durian gugur, saya akan terus cari dengan lampu suluh dan bawa ke bonet kenderaan. Kalau lambat ambil, buah mungkin akan dimakan binatang seperti babi dan musang,” katanya.
Menurut Azrul, harga durian yang ada berbeza-beza mengikut jenis dan dijual bermula pada harga RM4 hingga RM40 sekilogram bergantung kepada jenis dan grednya.
“Setiap hari, dianggarkan 60 hingga 100 biji durian dijual dan hasil jualan boleh mencecah antara RM250 hingga RM500 sehari,” jelasnya.