GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli dari 10 buah kampung di Pos Hau di sini, merayu pihak kerajaan untuk segera menaik taraf jalan perhubungan ke perkampungan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Hau, Jumaat Arong berkata, mereka sudah lama menanti pihak kerajaan membina jalan yang selesa bagi kemudahan untuk melakukan urusan di bandar Gua Musang.
Menurutnya, penduduk Orang Asli sangat berharap kerajaan dapat memenuhi hasrat mereka sejak sekian lama yang sering bergadai nyawa melalui jalan yang rosak dan tidak berturap.
“Sehingga hari ini, masalah jalan perhubungan bagaikan tiada kesudahan apabila usaha untuk menaik taraf jalan masih tidak dilakukan.
“Jarak dari Pos Hau ke Gua Musang adalah lebih 100 kilometer (km). Sekiranya menggunakan motosikal, kami perlu memempuh jalan berbatu dan ladang untuk sampai ke kampung yang mengambil masa empat jam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Razali Ayeh, 48, memberitahu, dia tinggal di Pos Hau sejak 1993, namun keadaannmya masih sama.
Jelasnya, mereka sangat berharap agar pihak kerajaan dapat membantu membaik pulih jalan perhubungan tersebut.
“Sebagai ibu bapa, kami bimbang akan keselamatan anak yang ingin ke sekolah, harap projek naik taraf jalan dapat dijalankan segera,” katanya.
Laluan itu menjadi jalan utama bagi penduduk di Pos Hau membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Redip, Kampung Galang dan Kampung Ladoi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, permohonan naik taraf jalan di kampung itu telah dibuat sebelum ini dan berharap pihak kerajaan akan mengusahakan projek berkenaan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk.
Beliau turut berharap projek naik taraf jalan desa dapat dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).