MELAKA – Kerajaan negeri bercadang membina semula replika kapal Mendam Berahi yang pernah menjadi kebanggaan zaman Kesultanan Melayu Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kapal yang dipercayai wujud pada zaman Laksamana Hang Tuah itu merupakan antara kehebatan bangsa melayu dan wajar menjadi tatapan generasi masa kini.
Katanya, antara lokasi utama yang dicadangkan adalah bersebelahan Muzium Kapal Selam di Klebang dekat sini.
“Yang Dipertua Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam semasa ucapannya ada menyebut kita bukan sahaja mewariskan kekayaan tetapi juga warisan jati diri bagi orang melayu dengan menunjukkan kehebatan orang terdahulu.
“Justeru, Melaka meminta pertimbangan yang sewajarnya daripada Kementerian Perpaduan Negara untuk membangunkan semula kapal ini berdasarkan dapatan terakhir pada seminar ini untuk dilaksanakan pada tahun depan, katanya pada sidang akhbar Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap dapat membawa pulang Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang kini berada di Lumut, Perak.
“Usaha ini sebagai tanda apa-apa yang berkait dengan Hang Tuah adalah hebat kerana bermula di Melaka,” katanya.-KOSMO! ONLINE