BALING – Penantian 12 keluarga mangsa kepala air di Kampung Iboi di sini, untuk menduduki rumah baharu sejak hampir setahun bakal terlaksana sebelum Hari Raya Aidiladha ini.
Seorang penduduk, Abdul Rahman Said, 71, berkata, jika diikutkan, dia mahu berpindah segera ke kediaman baharu itu selepas menerima kunci yang diserahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kelmarin.
“Saya bersyukur kerana dapat menyambut raya di rumah baharu. Terima kasih kerana bantu selepas rumah kami ranap dalam kejadian bencana tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Geran dan Kunci Rumah Kepada Mangsa Banjir Aliran Puing di Keda Kampung Sadek, Kupang di sini kelmarin.
Abdul Rahman merupakan antara 12 keluarga yang menerima kunci selepas kediamannya musnah dan hilang dalam tragedi banjir besar di Kampung Iboi, Kupang.
Lelaki itu yang kehilangan isteri, anak dan menantu dalam kejadian pada 4 Julai 2022 berharap dia dapat membina kehidupan baharu yang lebih sempurna dan baik selepas ini.
Sementara itu, penduduk, Azizan Mat Isa, 50, pula berkata, dia bersama anak-anak dan isteri akan berpindah ke rumah baharu tersebut secepat mungkin bagi membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Rasa sedih dan sayu apabila mengenangkan tragedi buruk itu, tetapi ia sedikit terubat selepas menerima geran dan kunci rumah baharu walaupun kediaman ini saiznya tidak besar,” katanya.
Cerita Azizan, dalam kejadian bah besar itu, rumahnya yang dibina hasil wang pencen sebagai askar dihanyutkan arus deras.
“Saya sempat tinggal di rumah tersebut selama 10 tahun sebelum ia lenyap dibawa arus,” katanya.
Norhashimah Ismail, 55, memberitahu, rumah baharu yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dilengkapi kemudahan air dan elektrik.
“Berbanding rumah lama, kediaman baharu ini lebih cantik dan selesa untuk saya tiga beranak tinggal.
“Saya akan mula membersihkan rumah pada petang ini (semalam) bersama anak-anak dan akan berpindah selepas urusan pemindahan barang selesai,” kata Norhashimah.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, fasa kedua pembinaan rumah untuk 17 buah keluarga lagi di jajaran Sungai Kupang sedang giat dilaksanakan.
Proses pengambilan tanah bagi pembinaan rumah di Kampung Bok Bak itu sudah selesai melibatkan kos RM600,000.