SERDANG – Seorang lelaki maut setelah terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat membeli-belah di Puchong Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.09 pagi tadi, mangsa berusia 26 tahun mengalami patah tulang rusuk hadapan dan patah tulang belakang sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.15 petang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, menerusi semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mangsa melihat keadaan sekitar terlebih dahulu dan kemudian terus melangkah melalui besi penghalang.
“Mangsa kemudiannya bergayut cara duduk dan terus terjatuh ke bawah. Doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia pada pukul 1.15 petang.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa patah tulang rusuk di bahagian hadapan dan patah tulang belakang dipercayai kerana jatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE