JOHOR BAHRU – Seorang buruh binaan warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa, Februari lalu.
Tertuduh, Shahin Alam, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki warga asing itu memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah premis kerana melanggar syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah premis di Kawasan Perindustrian SILC, Nusa Jaya Square, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 6 petang, 15 Februari lalu.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan RM10,000 sebagai bayaran ikat jamin dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali. Sebutan semula ditetapkan pada 20 Julai depan.-KOSMO! ONLINE