fbpx

Kekosongan jawatan dalam talian meningkat 3.5 peratus- DOSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian mencatatkan peningkatan 3.5 peratus iaitu 211,509 kekosongan pada suku tahun pertama 2023 (ST1 2023) berbanding 204,420 pada suku tahun ke empat tahun lalu (ST4 2022).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pada suku ini sebanyak 23,339 pertubuhan baharu yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 12,256 pertubuhan yang direkodkan pada ST4 2022.

Katanya, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 32.9 peratus berbanding 7.3 peratus pada ST4 2022.

“Perincian secara bulanan menunjukkan majoriti kekosongan jawatan telah diiklankan pada Mac lalu dengan 96,688 kekosongan merangkumi sumbangan sebanyak 45.7 peratus pada ST1 tahun ini.

“Sementara itu, terdapat 65,297 dan 49,524 kekosongan masing-masing pada bulan Februari dan Januari lalu,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, bagi kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam bidang profesional dengan 47.9 peratus atau 101,214 kekosongan.

“Ini diikuti oleh juruteknik dan profesional bersekutu 17.5 peratus, pengurus (13.8 peratus) dan pekerja sokongan perkeranian (8.7 peratus).

“Sebaliknya, pekerjaan paling popular pada suku ini dengan permintaan yang lebih tinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit, profesional bersekutu pentadbiran serta pembangun perisian,” ujarnya.

Tambahnya, melihat kepada kekosongan jawatan mengikut keseluruhan sektor ekonomi, lebih separuh tertumpu kepada sektor perkhidmatan menyumbang 54.9 peratus atau 116,163 kekosongan pada ST1 tahun ini.

Berhubung analisis kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi DOSM berkata, bilangan tertinggi dicatatkan perdagangan borong dan runcit iaitu 35,956 kekosongan, diikuti pembuatan (21,499), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (13,852) manakala aktiviti kewangan dan insurans serta takaful (13,326).

“Pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah profesional pengiklanan dan pemasaran yang mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 17,409 diikuti profesional bersekutu pentadbiran (8,261) dan pembangun perisian (6,528).

“Sebaliknya, jawatan dengan permintaan tertinggi bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ialah juruteknik (2,005), pengurus projek (1,667) dan jurutera perisian (1,643).

“Bagi senarai Pekerjaan Kritikal (COL), tiga pekerjaan teratas ialah profesional pengiklanan dan pemasaran (17,409), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (9,335) dan Akauntan dan Juruaudit (8,605),” katanya.

DOSM menambah, dari segi kekosongan jawatan di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur terus mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 62,727 pada suku tahun tersebut.

Ia diikuti oleh Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan 39,990 dan 12,150 kekosongan manakala WP Labuan mencatatkan bilangan kekosongan jawatan terendah iaitu 125 iklan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI