MEKAH – Rata-rata jemaah haji mempunyai tahap kesedaran yang tinggi apabila mula menjaga kesihatan masing-masing ketika hari wukuf semakin hampir.
Difahamkan, cuaca ketika ini berada pada paras 47 darjah Celsius dan dijangka meningkat kepada 50 darjah Celsius menjelang masyair.
Bagi pasangan muda berusia 29 tahun, Wan Mohamad Ali Wan Idrus dan Nur Amalina Muhamad, mereka mengambil berat mengenai isu kesihatan dengan tidak keluar ke mana-mana termasuk ke Masjidilharam mulai minggu ini.
Menurut Wan Mohamad Ali, dia juga ada ke klinik selepas demam pada minggu lalu.
“Pasukan perubatan Tabung Haji (TH) juga kerap membuat lawatan bilik ke bilik menjelang hari wukuf bertanya mengenai keadaan jemaah. Kalau ada yang tak sihat, mereka minta segera berjumpa doktor.
“Jemaah dinasihatkan minum lapan botol air zamzam sehari yang dibekalkan oleh TH. Kalau tidak cukup, di setiap tingkat ada disediakan air biasa juga,” katanya, di sini semalam.
Bagi Nur Amalina pula, TH juga mengadakan taklimat dan kursus mini bagi menghadapi masyair selepas solat maghrib di surau maktab.
“Kami juga ada membuat ulang kaji menerusi THhujjaj kerana aplikasi itu ada disediakan pelbagai soalan dan jawapan,” kata doktor gigi itu.
Pasangan yang menetap di Cyberjaya itu turut mendaftarkan diri sebagai sahabat maktab.
Bagi warga emas, Setak Yeop Musa, 66, dia mengambil makanan seimbang dan tidur yang cukup bagi merehatkan badannya untuk berwukuf.
Katanya, dia juga jarang ke Masjidilharam dan hanya pergi pada waktu subuh kerana tidak tahan panas.
“Kita dah jaga semuanya dan selebihnya diserahkan kepada Allah. Saya cadang ikut jemaah dan ustaz saja nanti.
“Memang ada pergi kursus dan pengetahun sedikit, tetapi lebih elok kalau ada yang membimbing supaya kita tak terlupa dan tersalah,” katanya yang berasal dari Kampung Gajah, Perak.
Setak Yeop yang baru pertama kali menunaikan haji bersama isterinya, Zalwi Aala, 57, memberitahu, perbelanjaan ke Tanah Suci ditampung oleh tujuh anak yang bekerja sebagai doktor, jurutera, pegawai polis dan ahli perniagaan.
Bagi guru Sekolah Rendah Pa’ Pura Beris Kubor Besar, Bachok, Kelantan, Syahida Abdullah, 49, dia baru baik daripada demam selama seminggu yang disusuli batuk dan selesema.
“Sekarang sudah beransur pulih dan bersyukur kerana tidak berlaku ketika wukuf. Saya terus ke klinik selepas merasa tak
sedap badan dan panas,” katanya.
Dia yang bersama suaminya, Mohd. Sahrudi Mamat, 51, turut menjaga kesihatan dengan tidak terdedah kepada panas dan jarang berjalan jauh termasuk ke Masjidilharam.