BOSTON, MASSACHUSETTS – Sebuah pesawat United Airlines berlanggar dengan sebuah pesawat Delta Airlines di landasan Lapangan Terbang Logan dekat bandar Boston, negeri Massachusetts, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kedua-dua pesawat itu berlanggar pada petang Jumaat lalu ketika pesawat Delta Airlines sedang dalam persediaan untuk berlepas ke Detroit.
Video kejadian yang dirakam penumpang Delta Airlines memaparkan situasi pesawat United Airlines perlahan-lahan mengundur ke arah pesawat yang mereka naiki.
Kenderaan kecemasan bergegas ke tempat kejadian berikutan pelanggaran itu dengan rakaman lain menunjukkan anggota penyelamat berada di landasan.
Jurucakap United Airlines mengesahkan bahawa hujung badan pesawatnya telah berlanggar dengan sayap sebuah pesawat lain.
“Penumpang pesawat United Airlines diarahkan turun ke pintu masuk dan pihak kami menjadualkan penerbangan lain untuk mereka,” kata jurucakap tersebut sambil menyatakan terdapat 128 penumpang dalam penerbangan menuju ke Newark, New Jersey.
Tiket penumpang Delta Airlines juga ditempah semula sejam kemudian dan syarikat itu memohon maaf serta memberi piza percuma kepada setiap pelanggan.
Tiada kecederaan dilaporkan dan selepas kira-kira setengah jam, pesawat United Airlines kembali semula ke lapangan terbang itu. – Agensi