LISBON – Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes memainkan peranan besar buat pasukannya apabila meledak dua gol bagi bantu kemenangan 3-0 ke atas Bosnia-Herzegovina pada aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi semalam.
Pengendali Portugal, Roberto Martínez teruja menyaksikan prestasi bintang Manchester United itu dan menganggap Fernandes mampu memainkan peranan utama buat pasukan seperti yang pernah dilakukan oleh Cristiano Ronaldo.
“Apabila Bruno Fernandes tiba ke kem latihan, dia adalah pemain yang memiliki minit permainan yang lebih banyak berbanding pemain lain dari lima liga utama di Eropah. Dia bermain 6,400 minit dan adakah kamu masih perlu risau tentang dia?
“Realitinya dia adalah seseorang yang sentiasa mahu bermain dan saya boleh katakan dia adalah contoh terbaik kepada mana-mana pemain yang mahu terus bermain, malah dia juga sentiasa bermain dengan senyuman.
“Dia pemain yang cukup bijak terutamanya dalam aspek sentuhan dan hantarannya. Cara dia memahami pemain lain dan mencipta peluang jelas menghadirkan kesukaran buat pertahanan lawan,” katanya.
Satu lagi gol dihasilkan oleh Bernardo Silva dan kemenangan itu memastikan Portugal memimpin carta Kumpulan J dengan mengutip mata maksimum selepas mengharungi tiga perlawanan.
Awal pagi Rabu ini, bekas juara Euro 2016 itu akan berkunjung ke Iceland dan misinya tetap sama untuk meneruskan rentak kemenangan selain cuba kekalkan rekod tanpa bolos.
“Kepintaran Bruno Fernandes jelas berada pada tahap tertinggi. Dengan kehadirannya dalam pasukan, kita tidak boleh ragui yang dia akan menjadikan pemain sekelilingnya mampu bermain dengan baik,” katanya. – AGENSI