PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon, gembira usaha mengubah DNA bola sepak negara semakin menunjukkan hasil positif sejak dilantik pada Januari tahun lalu.
Jurulatih berasal Korea Selatan itu berkata, beliau komited mahu skuad negara menampilkan corak permainan bola sepak moden meskipun ruang penambahbaikan masih ada.
Katanya, beliau mendapati persembahan anak-anak buahnya sudah hampir sempurna selepas mengkaji aksi Harimau Malaya ketika mengalahkan Kepulauan Solomon, 4-1 pada Rabu lalu.
“Masih terdapat beberapa kesilapan kecil daripada pemain yang perlu dikurangkan jika kita mahu bermain dengan rentak permainan lebih berkualiti dan bermutu.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kami bermain secara berpasukan cukup cemerlang dengan mendominasi pasukan lawan dan tidak membenarkan lawan menguji pintu gol kami,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Di bawah bimbingan Pan-gon, Harimau Malaya menunjukkan peningkatan prestasi dengan melonjak dari ranking 154 ke 138 dunia selain layak secara merit ke Piala Asia dalam tempoh 42 tahun.
Selain Piala Asia yang berlangsung awal tahun depan, Pan-gon dijangka terus mengemudi Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan November depan.
Pan-gon berkata, beliau mahu penyokong boleh berbangga datang ke stadium menyaksikan falsafah baharu bola sepak negara.
Sehubungan itu, beliau menghargai kerjasama semua kelab Liga Malaysia (Liga M) yang sentiasa membantu FAM membentuk pasukan mantap setiap kali kalendar antarabangsa.
“Sudah menjadi misi saya untuk mengubah karakter pemain menjadi lebih agresif, dominan dan menghiburkan untuk peminat Malaysia saksikan dalam setiap perlawanan,” tambahnya.
Skuad kebangsaan dijadualkan bertemu Papua New Guinea, Selasa ini dalam aksi persahabatan kedua di Kuala Terengganu selepas mengalahkan Kepulauan Solomon pada Rabu lalu.