fbpx

Dewan Negara: Tiada kesalahan jenayah dalam kes Hakim Nazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazlan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali berhubung kes rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut dipersetujui pihak Jabatan Peguam Negara.

“SPRM telah menerima laporan atau membuka kertas siasatan terhadap Hakim Nazlan berhubung kes rasuah.

“SPRM menyiasat dengan teliti perkara tersebut dan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan dan perkara ini dipersetujui Pejabat Peguam Negara,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas mengenai status siasatan terhadap Mohd. Nazlan mengenai tohmahan rasuah dan percanggahan isu konflik kepentingan ketika mengendalikan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Berkenaan isu konflik kepentingan Nazlan, Anwar berkata, isu yang sama telah diputuskan Mahkamah Persekutuan ketika menolak permohonan Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan.

“Dengan kata lain, isu tersebut telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Tinggi. Pada 9 Ogos, pihak defendan telah menarik balik dakwaan ke atas Hakim Nazlan.

“Alasan Mahkamah Persekutuan adalah relevan dengan memuktamadkan kes ini bahawa sumber wang yang diselewengkan daripada SRC International Sdn. Bhd. tidak relevan bagi tujuan pembuktian pertuduhan melibatkan kesalahan jenayah dan pecah amanah,” ujarnya.

Tambah Anwar, elemen penting untuk dibuktikan bagi pertuduhan tersebut adalah sama ada tertuduh mempunyai dominasi terhadap dana yang diselewengkan.

Katanya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tidak ada kaitan dengan pekerjaan terdahulu Hakim Nazlan di Maybank dengan pertuduhan tersebut.

“Sumber dana yang diselewengkan itu tidak relevan juga diakui peguam defendan.

“Jika sumber wang sedemikian tidak relevan maka peranan atau pekerjaan hakim Nazlan di Maybank adalah juga tidak relevan.

“Demikian keputusan Mahkamah Persekutuan dan kerajaan memperakui keputusan tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI