PETALING JAYA- Selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, komposer Julfekar dan penyanyi Min Yasmin mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Berita gembira itu dikongsi Min Yasmin atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz, 34, menerusi Instagram miliknya. Dia turut memohon doa peminat agar kehamilannya berjalan dengan lancar.
“Saya tahu masih terlalu awal untuk berkongsi berita gembira ini. Tapi saya percaya ini adalah berkat doa dan sokongan keluarga, rakan dan peminat.
“Alhamdulillah saya hamil semula jadi selepas 10 tahun berkahwin. Tolong doakan keselamatan dan kesihatan bayi kami sehingga selamat dilahirkan,” tulisnya.
Menerusi perkongsian yang sama, pelantun lagu Masi Malasa itu turut menunjukkan video kit ujian kehamilan yang memaparkan usia kandungannya kini mencecah tiga minggu.
Dalam pada itu, Min berkata, dia melakukan ujian kehamilan sebanyak tiga kali bagi memastikan keputusan tersebut sahih.
Dia juga bersyukur dapat membuat kejutan istimewa itu kepada suaminya sempena sambutan Hari Bapa semalam.
“Saya buat tiga kali ujian, tiga hari berturut-turut untuk memastikan keputusan itu betul. Saya sendiri sukar untuk percaya tapi Subhanallah.
“Kuasa Allah dan bila Dia mengkehendaki. Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di luar sana terutamanya suami saya yang bakal menimang anak kelima,” ujarnya.
Min turut menitipkan doa buat pasangan yang sedang menantikan zuriat agar bersabar dan percaya rezeki tersebut akan datang sama ada lambat atau cepat.
Min berkahwin dengan Julfekar pada 5 April 2014 di Masjid Kota Damansara, di sini.
Julfekar mempunyai empat orang cahaya mata dan tujuh cucu hasil perkahwinan terdahulu.