fbpx

Tamatnya ‘perang’ perceraian selebriti paling dramatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKATAN rumah tangga antara Puteri Sarah dan Syamsul akhirnya terlerai pada 14 Jun lalu.

SELEPAS enam bulan turun naik mahkamah, akhirnya drama kemelut rumah tangga pasangan paling popular tahun ini iaitu Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof menemukan kemuncaknya pada Rabu lalu.

Perbicaraan bermula sekitar Januari lalu, hakikatnya pasangan itu sudah ‘bertingkah’ menyalahkan dan dalam masa sama mencari titik perdamaian sejak empat tahun lalu sebelum diikuti dengan luahan-luahan kekecewaan dalam media sosial.

Ketika masyarakat menzahirkan simpati terhadap Sarah, pengesahan Syamsul yang sudah menikahi Ira Kazar sebagai isteri keduanya di Thailand, ibarat menyimbah minyak ke dalam api yang marak.

Kurang seminggu membuat pendedahan tersebut, Sarah nekad memfailkan perceraian terhadap Syamsul pada 16 Januari atas alasan tidak mahu lagi menanggung derita yang dilaluinya bertahun-tahun.

Sayangnya, Syamsul ketika itu masih enggan melepaskan isteri pertamanya. Dia yakin masih ada sinar untuk menyelamatkan rumah tangga yang terbina sejak sembilan tahun lalu.

Namun, ketegangan rumah tangga mereka berterusan apabila Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz atas dakwaan isterinya pernah curang, manakala Sarah turut melakukan hal sama, menuduhan suaminya pernah melakukan perbuatan terkutuk dengan Ira sebelum ini.

Realitinya, kemelut dan perbalahan yang tidak berkesudahan antara mereka mencetuskan rasa kurang senang netizen yang menganggap terlalu banyak cerita dalam kain terbongkar tanpa sedar.

Kemuncaknya, 14 Jun lalu menjadi tarikh ‘bersejarah’ buat pasangan itu apabila ikatan perkahwinan yang dibina akhirnya terlerai selepas Syamsul melafazkan talak satu berjumlah dua di hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Ada yang menganggap perceraian Syamsul dan Sarah sebagai satu kemenangan tetapi jauh di sudut hati mana-mana individu, tiada siapa yang ingin melalui episod hitam dalam rumah tangga mereka.

Kawan baik

“Tiada dendam antara saya dan Sarah.” Itu yang berulang-kali terbit di bibir pengarah filem Munafik itu sejurus keluar dari dewan bicara usai prosiding lafaz cerai tempoh hari.

“Saya lega semuanya berakhir dengan baik. Perceraian ini tidak bermakna saya dan Sarah menjadi musuh sebab kami mempunyai anak bersama.

“Keputusan untuk bercerai secara baik ini dilakukan demi anak-anak. Kalau berpisah dengan cara tidak baik pun, tidak beri makna apa-apa dan merumitkan keadaan,” katanya.

Katanya lagi, perpisahan yang berlaku bukanlah kehendak sendiri malah dianggap sebagai ujian hidup yang diberikan Tuhan kepadanya.

“Sebagai manusia, saya juga tidak terlepas daripada ujian hidup sebegini dan pastinya mendapat perhatian terutama saya pula seorang selebriti.

“Semoga semua ini jadi pengajaran, bukan sahaja untuk golongan selebriti tetapi pasangan lain di luar sana,” jelasnya.

Di mahkamah Rabu lalu, Sarah tidak bercakap banyak seperti sebelum ini, seolah-olah menyembunyikan perasaan sebenarnya.

“Saya tak tahu hendak gambarkan macam mana perasaan ketika ini (selepas bercerai), biarlah Tuhan sahaja yang tahu,” jawabnya yang sempat tersenyum sepanjang bertemu media.

Selain itu, pengguguran kes samannya terhadap Ira juga antara yang menjadi tumpuan ramai. Bagi sesetengah individu, situasi tersebut seolah-olah kemenangan sebenar buat Ira, seorang isteri kedua yang belum pasti tempatnya di sisi mentua.

Untuk Syamsul dan Sarah, tahniah atas perpisahan dalam perdamaian yang kalian cipta, semoga menjadi iktibar buat semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI