TIDAK pernah terlintas langsung dalam fikiran pelakon jelita, Sharifah Husna untuk melebarkan sayap seninya sehingga ke negara seberang, Indonesia.
Ibarat rezeki yang datang bergolek, pelakon yang mesra disapa Husna itu tidak menyangka ditawarkan peluang untuk membintangi sebuah filem bergenre seram oleh produksi dari sana yang dianggap sebagai pembuka jalan untuk dia mengembangkan portfolio kerjayanya.
Husna yang baru sahaja pulang dari Indonesia selepas menghabiskan masa selama lebih sebulan di sana, berkongsi rasa teruja apabila terlibat dalam naskhah yang diidam-idamkan selama ini.
“Saya baru sahaja pulang dari Indonesia kerana terlibat dengan penggambaran sebuah filem seram berjudul Waru The Movie.
“Saya memang peminat filem-filem seram dari Indonesia dan tidak menyangka terlibat dalam filem bergenre sebegitu. Waru The Movie merupakan filem antarabangsa pertama saya,” katanya yang menerima tawaran berkenaan pada Aidilfitri lalu.
Tambah wanita berusia 30 tahun itu, Waru The Movie merupakan sebuah filem seram yang diarahkan oleh pengarah wanita, Chiska Doppert.
“Selain saya, pelakon lain yang terlibat dalam filem ini ialah Zikri Daulay, Bella Graceva, Jinan Sana dan Josiah Hogan.
“Penggambaran mengambil masa selama lebih sebulan di Jakarta dan Solo, Indonesia,” ujarnya yang memegang watak sebagai Sarah dalam filem tersebut.
Bercakap tentang pengalamannya sepanjang berlakon dengan produksi dari Indonesia, pelakon berkelulusan dalam bidang perubatan itu berkata, tiada perbezaan ketara bekerja dengan produksi Indonesia dan tempatan. Baik dari segi cara kerja dan layanan, cuma dia terharu apabila kehadirannya dihargai.
“Tiada beza bekerja antara produksi di Indonesia dengan tempatan. Cuma saya rasa gembira sebab walaupun pertama kali berlakon dengan produksi luar, saya dilayan dengan baik.
“Malah kehadiran saya disambut mesra oleh orang-orang di sana. Alhamdulillah proses penggambaran berjalan lancar. Pengarahnya pula wanita, jadi saya sangat selesa bekerja dengannya,” jelas Husna.
Bergelar suri hati kepada pelakon, Halim Radzi sejak Oktober tahun lalu, status sebagai isteri juga tidak menghalang Husna untuk ‘terbang’ lagi ke Indonesia jika mendapat tawaran lain selepas ini.
Kata Husna, suaminya memahami kariernya sebagai pelakon dan peluang untuk berlakon dengan produksi luar tidak selalu datang.
“Kalau ada peluang lain selepas ini (kembali ke Indonesia), saya tidak keberatan untuk menerimanya. Tapi bergantung juga pada watak dan jalan cerita yang ditawarkan.
“Lagi pun suami juga tiada halangan untuk saya mengembangkan sayap seni sehingga ke Indonesia selepas ini. Sebab dia faham peluang sebegini tidak selalunya datang.
“Sebagai suami, Halim sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya saya sebagai pelakon. Dia faham akan minat saya dalam bidang ini.
“Kami sama-sama memberi sokongan antara satu sama lain sebab kami sedar peluang sebegitu tidak selalunya datang,” jelasnya.