SEPANG – Skuad bola jaring remaja kebangsaan digesa untuk terus kekal fokus selepas berjaya mempertahankan trofi pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia buat kali ketujuh di Jeonju, Korea Selatan semalam.
Kapten Pasukan Siti Maisarah Affandi percaya semangat berpasukan jitu menjadi kunci utama pasukan dapat melakar kemenangan sekali gus menempah tiket automatik ke Piala Bola Jaring Remaja Dunia 2025 di Gibraltar.
Meskipun tidak dapat beraksi pada kejohanan berprestij itu nanti kerana sudah lebih had umur, Siti Maisarah tetap berharap rakan-rakan sepasukan untuk terus berikan yang terbaik selain membuat persiapan rapi.
“Kami sangat gembira apabila dapat mempertahankan kejuaraan kali ini dan tidak keterlaluan untuk saya katakan semangat berpasukan menjadi senjata utama skuad untuk melakar sejarah.
“Ini adalah kali kedua saya bersama pasukan selepas edisi 2019 tetapi nasib tidak menyebelahi untuk beraksi pada Piala Bola Jaring Remaja Dunia 2025 nanti kerana sudah lebih usia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Terminal 1 (T1) petang tadi.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menyambut kepulangan skuad wira negara itu memberi jaminan bantuan sewajarnya bakal diberikan kepada Persatuan Bola Jaring Malaysia bagi memastikan persiapan ampuh dapat dilakukan dalam tempoh dua tahun ini.
“Daripada aspek bantuan kita akan bincang dengan persatuan. Bila sudah ke Piala Dunia sudah tentu sokongan yang mantap akan diberikan khususnya daripada aspek penajaan agar persiapan rapindapat dilakukan nanti,” katanya.
Sebagai rekod, skuad kendalian Aminah Asaari berjaya merekodkan kemenangan dengan menewaskan seteru tradisi, Singapura 49-45 pada aksi final.
Sebelum ini Malaysia pernah memenangi Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia sebanyak enam kali pada 2004, 2006, 2008, 2010, 2013 dan 2019. – KOSMO! ONLINE