SKUAD bawah 17 (B-17) negara berdepan misi ‘hidup mati’ apabila perlu mengelak daripada kekalahan menjelang aksi kedua saingan Kumpulan A kejohanan Piala Asia B-17 2023 menentang Thailand malam ini.
Ketua jurulatih skuad B-17 negara, Omaro Osmera menyeru agar barisan pemain tampil lebih yakin di atas padang selain menyudahkan segala peluang terhidang jika mahu menyalakan semula misi pasukan.
“Di atas kertas, saya boleh lihat kita setanding dengan pasukan Thailand tetapi saya harap pemain tampil dengan lebih yakin selain menyudahkan setiap peluang terhidang kerana peluang kita masih lagi terbuka.
“Cuma, saya akui agak sukar untuk pasukan ketika ini kerana ada seorang pemain utama kami terpaksa diketepikan. Namun, saya yakin barisan pemain yang lain akan buat yang terbaik sepanjang 90 minit nanti.
“Apa yang penting, kita perlu kurangkan kesilapan dan motivasi pasukan ketika ini juga cukup baik,” katanya kepada media semalam.
Sebagai rekod, skuad remaja Harimau Malaya mengalami kekalahan mengejutkan dengan wakil Asia Barat, Yemen dengan keputusan 0-4 pada aksi pembukaan Kumpulan A, Khamis lepas.
Sementara itu, Thailand pula dilihat memiliki momentum terbaik susulan berjaya merekodkan kemenangan moral 2-1 ke atas negara jiran, Laos pada perlawanan pertama.
Justeru, skuad negara perlu meraih mata berharga dan elak daripada kekalahan sekiranya enggan tersingkir awal pada kejohanan bola sepak berprestij peringkat belia Asia itu kali ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan sasaran agar pasukan meloloskan diri sekurang-kurangnya di pusingan suku akhir.
Berdasarkan format Piala Asia B-17 kali ini, empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir nanti akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia.
Pencapaian terbaik pasukan B-17 kebangsaan sebelum ini adalah mara ke peringkat suku akhir pada edisi 2014.