fbpx

RM20 juta untuk program Pride Kasih Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SABARIAH menyampaikan Kad Kesihatan Pahang Pride kepada penerima di Dewan Orang Ramai Durian Tawar di Bera hari ini.

BERA – Program Pahang Pride Kasih diteruskan lagi tahun ini yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, peruntukan bagi program berkenaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

“Kerajaan negeri telah mengumumkan Inisiatif Bantuan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih yang akan diberikan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Skim Bantuan Warga Emas dan Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB).

“Jumlah keseluruhan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih pada tahun ini bagi daerah Bera sahaja adalah melibatkan seramai 366 orang penerima untuk Skim Bantuan OKU Tidak Bekerja dan 382 orang penerima bagi Skim Bantuan Warga Emas,” katanya pada majlis penyerahan kad kesihatan Pahang Pride Kasih, di Dewan Orang Ramai Durian Tawar, di sini hari ini.

Penjenamaan di bawah produk Pahang Pride Kasih merupakan singkatan bagi perkataan ‘Kad Sihat’ telah dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 18 Januari tahun lalu.

Menurutnya, antara jenis rawatan yang diberikan melalui Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih ini adalah perlindungan rawatan pesakit luar seperti demam, batuk, selesema dan sakit badan; pemeriksaan kesihatan asas (seperti ujian darah); pengambilan vaksinasi (seperti Pnuemococcal, Meningococcal, Influenza dan Hepatitis B); X-Ray serta ‘swab test’ bagi Kes Influenza dan Covid19.

Beliau memberitahu, sebanyak 70 buah klinik panel telah dilantik di seluruh negeri termasuk lima buah klinik panel berdaftar di daerah Bera.

“Dengan nilai bantuan RM500 bagi setiap kad kesihatan ini, setiap pemegang kad boleh mendapatkan rawatan pesakit luar di mana-mana klinik panel yang berdaftar di bawah inisiatif program ini sepanjang tahun 2023.

“Kad kesihatan ini merupakan perkhidmatan alternatif kepada fasiliti kesihatan klinik kerajaan dalam usaha menggalakkan warga emas membuat pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta terpilih dengan lebih selesa dan menjimatkan masa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI