PETALING JAYA – Pensyarah dan tenaga pengajar di semua institusi pengajian dinasihatkan agar mengingatkan pelajar mereka untuk lebih beradab ketika meminta kerja atau memohon latihan industri di mana-mana syarikat.
Satu perkongsian di Facebook Alya Syahida Allias, berkata, tenaga pengajar juga dinasihatkan agar mengajar pelajar cara memohon dan menulis surat permohonan kerja atau latihan industri kerana menurutnya ketika ini ramai pelajar yang kurang adab.
“Kepada pensyarah, tenaga pengajar kolej, universiti dan institusi pengajian tolong ingatkan pelajar kamu, masa nak mohon ‘internship’, kerja, nak hubungi pihak syarikat tu, mula la dengan ucap selamat, kenalkan diri, bagitau tujuannya apa. Lepas tu jangan lupa ucap terima kasih.
“Beritahu mereka (pelajar), kalau nak email resume, paling kurang letak la title (tajuk) email tu, kata nak mohon kerja. Tulis la ‘cover letter’ sikit,” tulisnya.
Tambah wanita itu lagi, bekas pelajar atau pelajar yang baru tamatkan pengajian mereka sebenarnya masih tiada ‘harga’ dalam dunia pekerjaan.
“Dah la awak tu ‘fresh graduan’, tidak ada ‘value’ (nilai) lagi pun dalam pasaran alam pekerjaan,” jelasnya.
Rata-rata orang ramai turut bersetuju dengan pendapat tersebut dan menyatakan ramai dalam kalangan pelajar sekarang yang tiada adab namun banyak permintaan dan kemudahan yang ingin diminta mereka.
“Betul, kadang-kadang tu entah datang dari mana, whatApps kita tak kenalkan nama, dari mana terus tulis mohon pekerjaan. Kalau kita tengok pun sakit hati,” jelas seorang pengguna media sosial.
“Nampak sekarang ni budak-budak ‘student’ bergaya sahaja lebih, kerja lebih kurang tapi minta dia tu banyak sangat,” jelas Isham Johari. – KOSMO! ONLINE.