SACHSENRING, Jerman: Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin meneruskan momentum cemerlang apabila mengungguli saingan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) pada perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman sebentar tadi.
Pada saingan di Litar Sachsenring itu, Martin berjaya menafikan cabaran juara dunia, Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati di tempat kedua dengan rakan sepasukan, Johann Zarco melengkapkan kedudukan podium.
Lebih manis, ini adalah kemenangan kedua dalam karier Martin pada kejohanan sukan permotoran berprestij itu sejak kali terakhir melakukannya pada GP Styria di Austria edisi 2021.
“Ini adalah kemenangan yang cukup istimewa buat saya dan sudah pasti saya agak beremosi ketika ini. Bukan mudah untuk meraih kemenangan pada perlumbaan GP kerana dua tahun saya berjuang untuk mendapatkannya.
“Pujian wajar diberikan kepada Bagnaia kerana tidak memberikan laluan mudah buat sepanjang perlumbaan,” kata pelumba kelahiran Sepanyol itu.
Keputusan tersebut menyaksikan Martin kini menduduki tangga kedua carta keseluruhan dengan mengutip 144 mata, ketinggalan 16 mata berbanding Bagnaia yang masih gah selaku pendahulu musim ini. – KOSMO! ONLINE