MEKAH – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nekad ke Tanah Suci secara solo tanpa kehadiran ibu bapanya demi mencari reda Ilahi pada usia muda dan mengubah dirinya daripada malas kepada rajin solat pada awal waktu.
Muhammad Haqim Mohd. Farid, 18, berkata, dia jatuh hati dengan Mekah selepas mengerjakan umrah bersama ibu, Roziana Ishak, 60, dan bapanya, Mohd. Farid Mohd. Yatim, 70, pada 2018.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor, Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, dia terkejut dipilih pada tahun ini kerana menyangka notifikasi yang diterima melalui aplikasi Thijari di telefon bimbit ibunya adalah untuk wanita itu.
“Ibu pun terkejut. Saya ingin menolaknya tetapi ibu bantah kerana dia kata ini adalah panggilan Ilahi dan tak sepatutnya saya tolak.
“Sejak itu saya terpaksa membahagikan masa untuk SPM dan kursus haji. Lepas habis kelas tambahan setiap Ahad, saya bergegas pula ke masjid untuk hadiri kursus,” katanya ketika ditemui di Fajer Al-Badee 5 di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Haqim, dia tidak kekok bersendirian di sini kerana dia seorang yang peramah dan cepat mesra dengan rakan sebilik yang rata-ratanya terdiri daripada orang tua.
Tambahnya, sejak tiba pada 8 Jun lalu, dia berubah menjadi rajin daripada pemalas kerana semuanya perlu dilakukan sendiri seperti membasuh dan melipat baju, solat, membantu jemaah dan lain-lain.
“Saya mendaftar sebagai sahabat maktab KT72 kerana suka tolong orang. Antara pengalaman di sini ialah ketika membantu dua kumpulan jemaah (Indonesia dan Malaysia) yang tersasar pulang ke hotel masing-masing dari Masjidilharam,” katanya.
Ujar Muhammad Haqim, ibunya mendaftarkan haji untuknya pada 2007 selepas pulang dari Tanah Suci. – KOSMO! ONLINE