PHOENIX, ARIZONA – Seorang lelaki di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) maut selepas diserang seekor beruang hitam ketika sedang berehat sambil minum kopi, lapor saluran berita NBC News semalam.
Steven Jackson, 66, diserang pada pagi kelmarin di sebuah kawasan hutan dekat daerah Yavapai, kata pejabat sherif daerah itu.
Jackson sedang duduk di sebuah meja sambil minum secawan kopi di tapak kabin yang dibinanya apabila beruang jantan dewasa itu menyerangnya.
Menurut seorang sherif, David Rhodes, berlaku pergelutan antara Jackson dan beruang tersebut sebelum jiran-jiran datang membantunya.
Ia mengheret Jackson kira-kira 22 meter ke bawah tambak sebelum jiran tiba membawa senapang dan menembak mati haiwan itu untuk menghentikan serangan.
Ketika itu, Jackson dikatakan sudah meninggal dunia.
Penyelia lapangan untuk Jabatan Permainan dan Ikan Arizona, Darren Tucker berkata, beruang itu dianggarkan berusia enam hingga 10 tahun, namun siasatan masih dijalankan.
Nekropsi atau bedah siasat yang dijalankan ke atas haiwan juga akan dilakukan, katanya. – Agensi