fbpx

KDN serah pihak berkuasa isu orang politik lindungi kegiatan judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (tengah) meluangkan masa melawat ke reruai pameran APMM pada Program KDN Madani di Sekolah Latihan Asas Kepolisan, Sungai Petani, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

SUNGAI PETANI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak berkuasa sama ada terdapat keperluan untuk mendedahkan identiti orang politik yang dikatakan melindungi kegiatan judi dalam talian, di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai penilaian profesional untuk menguruskan perkara tersebut.

“Kedua-dua agensi itu mempunyai data maklumat yang sangat komprehensif tentang siapa di belakang pemain dan siapa dalang sehingga berjaya mewujudkan unsur naungan politik dalam kegiatan judi dalam talian.

“Seperti yang disebut oleh SPRM dan Ketua Polis Negara bahawa ada keperluan untuk kedua-dua badan penguat kuasa ini saling berkongsi maklumat, jadi tentang apakah mereka akan mendedahkan (identiti) itu saya tinggalkan kepada penilaian profesional mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program KDN Madani Bersama Menteri Dalam Negeri di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Kuala Muda, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin tidak menolak kemungkinan aktiviti perjudian dalam talian di negara ini boleh mencecah nilai berbilion ringgit setiap bulan.

“Aktiviti judi dalam talian ini banyak jenisnya. Salah satunya nombor ramalan atau nombor ekor yang satu minggu nilainya mencecah sehingga RM250 juta.

“Itu baru satu jenis belum yang lain, hari itu pun saya paparkan hampir 100 laman web (berkaitan judi), saya cuma sebut beberapa sahaja.

“Jadi apabila kita tengok daripada segi saiz itu, jumlah kutipannya sangat besar dan mereka (sindiket) ini sangat besar serta menyimpan keuntungan dalam bentuk mata wang kripto,” ujarnya.

Saifuddin berkata, rangkaian tersebut juga menggunakan teknologi yang sangat maju sehingga memerlukan pihak berkuasa perlu berada beberapa langkah ke hadapan.

Ketika ditanya sama ada kumpulan terbabit terlibat dalam membiayai kegiatan politik di negara ini, beliau tidak menolak kemungkinan terhadap perkara itu.

Ini kerana kata beliau, siasatan pihak berkuasa turut membawa kepada penemuan maklumat mengenai ‘naungan politik’ atau dilindungi orang politik.

“Perkara itu yang disebut oleh Perdana Menteri pada awal ucapan Parlimen iaitu wujudnya elemen pembiayaan daripada aktiviti perjudian terhadap pertubuhan politik.

“Cuma apabila Ahli Parlimen Pasir Mas bertanya soalan kemudian dijawab oleh menteri hasil siasatan SPRM, pada waktu itu belum menemui sebarang bentuk bukti yang boleh disahkan.

“Tapi hal itu dimainkan seolah-olah Perdana Menteri bercakap suatu yang tidak betul sehingga apabila ada soalan tambahan tempoh hari mengenai perkara itu dan saya memberikan data yang lebih terperinci.

“Jadi bukan satu benda yang boleh kita tolak bahawa ada kebarangkalian yang cukup besar bahawa apabila ada naungan politik maka pemain dalam industri itu yang dilindungi oleh naungan politik sudah tentu perlu balas balik yang tidak mustahil dalam bentuk pembiayaan kegiatan politik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI