PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di enam negeri sehingga pukul 6 petang hari ini, berikutan ramalan hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir di beberapa kawasan terlibat.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, antara kawasan terlibat adalah Rompin, Pahang serta dua daerah di Negeri Sembilan iaitu Jempol dan Tampin.
Keadaan sama turut dijangka melanda seluruh negeri Melaka dan beberapa kawasan di Johor (Tangkak dan Mersing).
“Di Sarawak pula melibatkan Sri Aman (Sri Aman), Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) dan Kapit (Song).
“Ramalan cuaca buruk turut meliputi kawasan tertentu di Sabah, antaranya Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Sandakan (Beluran) dan Kudat (Kota Marudu),” jelas laporan itu. – KOSMO! ONLINE