fbpx

Greece nafi bot migran terbalik akibat tali diikat Pengawal Pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej dari udara yang dirakam helikopter penyelamat memaparkan keadaan di atas bot itu sebelum ia karam di perairan luar pantai Peloponnese pada 13 Jun lalu. - AFP

ATHENS, Greece – Insiden bot pendatang yang karam di perairan Greece Rabu lalu memasuki episod baharu apabila pihak berkuasa menafikan beberapa siri laporan yang menyatakan ia terbalik selepas pasukan Pengawal Pantai mengikat tali padanya, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Bot yang membawa kira-kira 750 pendatang asing itu dilaporkan karam selepas pukul 2 pagi (waktu tempatan), kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar Pylos.

Perdana Menteri caretaker Greece, Ioannis Sarmas berkata, siasatan mengenai fakta sebenar dan pertimbangan teknikal akan dilakukan bagi menentukan punca bot tersebut karam.

Dua daripada 104 mangsa yang terselamat dalam nahas bot nelayan yang sesak dengan penumpang itu dilaporkan menceritakan detik bagaimana bot berkenaan dihampiri oleh Pengawal Pantai sebelum ia terumbang-ambing.

“Kapal Pengawal Pantai itu mengikat bot menggunakan tali dan cuba menariknya ke kiri. Atas sebab yang tidak diketahui, bot itu terumbang-ambing dan senget ke bahagian kanan sebelum terbalik,” kata seorang pendatang Syria kepada Ahli Majlis Tempatan, Tasos Polychronopoulos. 

Akhbar Greece, Kathimerini, memetik sumber sebagai berkata, pada mulanya anggota Pengawal Pantai mengikat tali pada bot itu supaya mereka dapat memeriksa keadaannya. Namun kemudian, tali tersebut dibuka oleh beberapa penumpang bot bagi membolehkannya terus menuju ke Itali.

Persoalan mengenai sama ada tali telah diikat pada bot pendatang itu mula dibangkitkan oleh seorang aktivis pelarian yang memaklumkan sebahagian penumpang terselamat telah memberitahunya bahawa mereka ketika itu bimbang ia (tali) boleh menyebabkan bot yang sangat padat itu terbalik.

Jurucakap kerajaan, Ilias Siakantaris mengesahkan kelmarin bahawa Pengawal Pantai telah menggunakan tali untuk untuk mendekati bot berkenaan bagi melihat sama ada para penumpang memerlukan sebarang bantuan.

Namun, tegas beliau, kapal peronda Pengawal Pantai hanya menjatuhkan tali kecil pada bot nelayan itu untuk mengetahui situasi semasa penumpangnya.

“Beberapa orang di atas bot itu kemudian membuka ikatannya untuk meneruskan perjalanan mereka ke utara Itali,” ujarnya.

Seorang doktor sukarelawan untuk Pasukan Palang Merah Hellenic, Georgios Vasilakos memberitahu BBC bahawa tiada wanita dan kanak-kanak yang terselamat dalam tragedi itu.

Menurutnya, mangsa yang terselamat memberitahu bahawa semua wanita dan kanak-kanak diasingkan di bahagian bawah dek bot tersebut.

“Disebabkan kejadian itu berlaku dengan pantas dan bot terbalik dengan pantas, mereka tidak dapat keluar tepat pada masanya,” kata Vasilakos sambil menambah, penumpang bot itu terpaksa minum air laut sekurang-kurangnya dua hari sebelum ia karam.

Setakat semalam, kira-kira 500 mangsa masih hilang, demikian menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, selain 78 orang disahkan terkorban dalam tragedi tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, agensi pelarian itu berkata, sebarang usaha mencari dan menyelamat adalah perlu dilakukan bagi mengelak lebih ramai mangsa kehilangan nyawa. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI