PETALING JAYA – Penyanyi Fuad Rahman menangkis tuduhan dirinya digari pihak berkuasa di Singapura yang disifatkan sebagai fitnah sengaja diada-adakan dengan tujuan menjatuhkan reputasinya.
Kata pemilik nama sebenar Mohamed Fuad Abdul Rahman itu, dia bukan individu seperti dahulu, sebaliknya telah menjalani kehidupan ‘bersih’.
“Kepada peminat, rakan terdekat, keluarga, sanak-saudara, dan anak-anak saya, dapat berita (yang) mereka sangat ambil berat pasal saya.
“Ada orang kata kawan dia nampak saya kena gari di Singapura. Jauhkan segala-galanya. Saya sihat sini.
“Zaman saya sudah habis. Saya selamat, segalanya baik-baik. Kamu jangan risau, saya tak macam dulu lagilah,” katanya menerusi kenyataan dalam laman sosial.
Suami kepada penyanyi Tom itu menegaskan, pada tempoh kononnya dia ditahan sebenarnya dia sedang mengadakan persembahan di ibu negara.
Begitupun, pada masa sama, anak seni asal kota singa itu menganggap khabar sedemikian sebagai tanda orang prihatin.
“Itu semua normal, orang nampak pelanduk dua serupalah kot, ada tatu.
“Mungkin saya dapat berita sebegini ada petanda baiklah bahawa saya sudah benar-benar berubah.
“Saya baru ada ‘showcase’ semalam dan malam ini ada lagi. Saya selalu bersih alhamdulillah. Setakat ini tiada buat salah apa-apa.
“Periksalah betul-betul. Tapi (tunjukkan) ramai ambil berat, alhamdulillah,” katanya lagi.
Terdahulu, Fuad yang juga peserta Gegar Vaganza 9 (GV9) sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman penjara dan sebat akibat penyalahgunaan dadah sebanyak tiga kali sejak berumur 18 tahun.
Tidak menyembunyikan sejarah silam, penyanyi berusia 44 tahun itu menyatakan pengalaman berada di balik tirai besi menginsafkan selain turut menjadikannya insan lebih baik.
Kehidupannya juga dikatakan semakin bermakna selepas bertemu semula kekasih lama, Raja Farah Raja Afzal Raja Ikram di GV9, seterusnya mendirikan rumah tangga pada 26 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE