FARO – Satu gol daripada Kylian Mbappe memastikan Perancis kekal dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas menewaskan Gibraltar 3-0 pada aksi kelayakan Euro 2024 di Stadium Algarve, awal pagi semalam.
Olivier Giroud membuka jaringan buat Perancis sebelum Mbappe menyempurnakan penalti di hujung babak kedua, malah bintang Paris Saint-Germain iu muncul pencetus kepada gol sendiri Aymen Mouelhi untuk melengkapkan kemenangan buat skuad Didier Deschamps.
“Objektif kami pada perlawanan ini adalah untuk memastikan kemenangan dan pemain sudah pun melunaskan tugasan kali ini. Tetapi, kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol.
“Kami boleh lakukan lebih baik dan bermain lebih laju, tetapi keadaan padang tidak membenarkan kami melakukannya. Apa pun saya tetap berpuas hati dengan kejayaan kali ini.
“Sekarang saya perlu memikirkan tentang perlawanan penting menentang Greece,” kata Deschamps.
Greece kini sedang berada pada prestasi terbaik untuk memberikan cabaran selepas turut catatkan kemenangan 2-1 ke atas Ireland dan kini turut raih mata maksimum selepas harungi dua perlawanan.
Bagaimanapun, prestasi Mbappe kekal menjadikan pemain itu sebagai tajuk utama berita bola sepak antarabangsa selepas bintang 24 tahun itu menyatakan hasratnya untuk tidak melanjutkan kontrak bersama PSG yang bakal tamat tahun depan. – AGENSI