PETALING JAYA – Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal melanda negeri Sarawak serta Sabah sehingga pukul 9 malam ini.
Ramalan itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi laporan cuaca di Facebook rasminya, tadi.
Menurut laporan itu, antara kawasan yang terlibat di Sarawak adalah Sri Aman, Sarikei (Julau dan Meradong), Sibu, Mukah (Matu dan Dalat) dan Kapit (Song).
Sementara itu, hujan lebat serta ribut petir turut tertumpu sekitar negeri Sabah melibatkan Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran), malam ini.
Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan terlibat sepanjang tempoh yang sama.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas laporan itu. – KOSMO! ONLINE