SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merancang membina sebuah balai bomba yang boleh beroperasi di atas permukaan air dalam usaha menangani risiko bunuh diri dan lemas khususnya.
Justeru, Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan tapak balai yang bersesuaian khususnya berdekatan Jambatan Pulau Pinang untuk tujuan tersebut.
“Perancangan ini dilihat bersesuaian dengan faktor geografi negeri serta kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang yang telah merekodkan sebanyak 75 kes antara tahun 2019 hingga bulan Mei tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air peringkat kebangsaan oleh JBPM di Bagan Ajam, Butterworth yang turut dihadiri beberapa pegawai kanan bomba.
Hadir sama pada acara perasmian kempen yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang iaitu Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak itu ialah beberapa pemimpin setempat termasuk Exco kerajaan negeri yang berkenaan.
Sempena kempen itu juga, beberapa latihan kesedaran aktiviti air turut dijalankan termasuk program Jom Belajar Berenang, Simbol dan Papan Tanda, Asas Menyelamat di Air, Tips Keselamatan di Air dan bantuan pernafasan atau CPR.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, pihaknya akan terus melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan lagi fungsi pasukan khas bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Ketika ini katanya, PPDA diiktiraf sebagai antara pasukan elit bomba yang memainkan peranan penting dalam operasi mencari serta menyelamat mangsa di air.
“Setakat ini, JBPM mempunyai seramai 628 anggota bagi PPDA yang ditempatkan di 46 buah balai bomba di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE