JOHOR BAHRU – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menafikan dakwaan pakaian jururawat hospital awam di negara ini ketat dan tidak mematuhi syariah, sebaliknya menegaskan seragam itu mematuhi etika berpakaian penjawat awam.
Sehubungan itu, pihaknya tidak mahu isu berkenaan terus dibangkitkan khususnya ketika Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberi tumpuan terhadap meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di negara ini.
“Kalau tengok pakaian jururawat sekarang memang ada etika, jadi bagi saya tiada masalah. Sebaliknya yang paling penting sekarang adalah kerajaan telah meluluskan pembentangan Kertas Putih Kesihatan.
“Itu lebih utama kerana ia membincangkan tentang penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, adalah penting untuk mereka faham bahawa kesihatan rakyat menjadi tumpuan kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Makmal Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur di HSA, di sini hari ini.
Pada 15 Jun lalu, seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.
Sementara itu, Dr. Zaliha yang juga merupakan Ahli Parlimen Sekijang turut memberitahu, KKM akan memaklumkan pencapaian dan aspirasi kesihatan awam kepada rakyat menerusi strategi komunikasi yang diwujudkan.
“Saya tahu rakyat ramai kurang maklum tentang perkara ini (Kertas Putih Kesihatan), tetapi paling penting ia dah lulus dan kita akan sampaikan kepada rakyat agar mereka faham dan tahu kepentingan kesihatan,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kelulusan Kertas Putih Kesihatan itu membuktikan tidak berlaku ketirisan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu termasuklah berhubung pembelajaran vaksin ketika pandemik Covid-19, beliau mengakulah. – KOSMO! ONLINE